Permintaan terhadap lembu ‘sado’ atau baka import untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini meningkat meskipun harga ternakan itu lebih tinggi berbanding lembu biasa.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Terengganu, Mohd. Shahrir Mustapha @ Harun berkata, harga bagi ternakan tersebut boleh mencecah sehingga RM25,000 seekor bergantung kepada berat.
Katanya, dianggarkan sebanyak 100 ekor lembu sado ditempah untuk ibadah korban di Terengganu tahun ini berbanding 50 ekor tahun lalu.
“Harga lembu sado agak mahal, namun permintaan untuk ternakan baka import ini masih tinggi.
“Tahun lalu, harganya antara RM10,000 hingga RM15,000 seekor namun kini boleh mencecah sehingga RM25,000 seekor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Shahrir berkata, selain aspek kemampuan pembeli, mutu daging lembu yang berkualiti tinggi dari baka import itu menyebabkan permintaan terhadap ternakan tersebut bertambah.
Malah katanya, saiz ternakan yang besar menyebabkan peserta memilih ternakan berkenaan bagi melakukan ibadah korban agar lebih ramai golongan asnaf dapat menikmati daging tersebut.
Katanya, diakui harga seekor lembu sado mahal namun nilai bagi setiap kilogram dagingnya lebih murah berbanding lembu biasa.
“Contohnya, bagi ternakan kampung peserta menerima kira-kira 10 kilogram daging satu bahagian dan membayar harga antara RM600 hingga RM700 yang mana berat untuk satu kilogram itu dalam lingkungan RM60 ke RM70.
“Ini berbeza dengan lembu sado dengan berat 370 kilogram apabila harganya hanya sekitar RM40 sekilogram dengan peserta membayar kira-kira RM2,000 untuk satu bahagian daging seberat 50 kilogram,” katanya.
Program penternakan ini oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor mula menampakkan hasil apabila program ini berjaya melahirkan baka terbabit.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, berat Lembu Sado ‘Made In Selangor’ itu mampu mencecah sehingga satu tan.
“Lembu Sado Made In Selangor ini dikatakan boleh mencecah berat sehingga 1 tan seekor di mana merupakan hasil dari satu teknologi kaedah pembiakan secara permanian berhadas (artificial insemination – AI ) di mana ibu lembu tempatan seperti Kedah, Kelantan atau Local Indian Dairy disuntik dengan semen atau benih yang diimport dari luar negara.
“Hasil dari kaedah tersebut, ternakan yang lebih bermutu di mana tubuh yang besar dapat mengeluarkan hasil daging yang lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.
Amirudin berkata, semen pejantanan yang sering digunakan di Selangor adalah seperti Charolais, Limousin dan Belgian Blue.
Katanya, selain itu projek dan program Jabatan Perikanan Selangor seperti kajian untuk meningkat hasil kerang dan juga ternakan ikan air tawar turut menghasilkan pulangan tinggi seperti ikan ketutu, ikan ternakan air masin yang bernilai tinggi serta ikan-ikan hiasan.