Advertisement

Zoo Negara merupakan zoo yang terbesar di Malaysia.

Terdapat pelbagai tarikan yang dipamerkan di Zoo Negara, termasuk lebih dari 400 spesis haiwan. Nak tahu kenapa anda mesti lawati tempat ini? Teruskan membaca sehingga tamat.

Zoo Negara terletak di Ulu Klang, Selangor. Mempunyai kawasan yang berkeluasan 110 ekar, ia diiktiraf sebagai zoo terbesar di Malaysia.

Dengan berkonsepkan open zoo, ia bercita-cita untuk menempatkan setiap spesis haiwan di kawasan yang luas, yang menyerupai habitat asalnya. Ia membolehkan haiwan berlegar-legar dengan bebas, serta memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat haiwan tanpa sangkar kurungan.

Bertempat di pinggir bandaraya Kuala Lumpur, Zoo Negara sememangnya tarikan pelancong yang terkenal.

Tidak kira dikalangan orang tempatan mahupun pelancong luar, zoo ini tidak pernah lekang dari pengunjung. Walaupun sekitar Ulu Klang kian membangun, kawasan zoo masih lagi kekal hijau dan nyaman.

Selain dari melancong, anda boleh jadikan lawatan ke zoo sebagai aktiviti semasa cuti hujung minggu. Di sini kami akan senaraikan 5 sebab untuk anda lawati Zoo Negara. Sebelum itu, mari kita singkap kisah zoo yang terkenal ini.

Sejarah Zoo Negara

Kisahnya bermula sejak 50 tahun lalu. Pada tahun 1957, Malayan Agri-Horticultural Association (MAHA) telah membuka satu mini zoo. Pameran yang diadakan sekali setahun ini telah menarik minat ramai pengunjung. Akhirnya, tercetus idea untuk membuka satu zoo di Malaysia.

Untuk merealisasikan impian ini, satu persatuan zoologi telah ditubuhkan. Persatuan yang dikenali sebagai Malaysian Zoological Society ini bertanggungjawab untuk mengutip dana serta mengurus tadbir zoo ini.

Setelah melalui pelbagai ujian dan rintangan, akhirnya Zoo Negara telah dibuka pada 14 November 1963. Ia telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman.

HOT  Beli UNIPIN Malaysia - Beli Kredit Game Dalam Talian

Pada awalnya, terdapat kritikan terhadap penubuhan zoo ini serta tapak kawasan yang dipilih. Namun begitu, ia berjaya membuktikan sebaliknya apabila menerima kunjungan yang ke 1 juta selepas hanya 3 tahun pembukaannya.

Pengunjung ke sejuta yang bertuah itu telah dihadiahkan satu plaque kenangan serta pas zoo percuma selama setahun.

Sehingga ke hari ini, Zoo Negara kekal diuruskan oleh Malaysian Zoological Society. Persatuan ini merupakan badan bukan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kelestarian tempat ini. Kutipan dana pusat ini bergantung sepenuhnya pada jualan tiket dan sumbangan dari pelbagai pihak.

Kenapa Anda Mesti Lawati Zoo Negara

Di sini kami berikan 5 sebab kenapa anda mesti melawat zoo ini bersama keluarga.

1.Mudah untuk dilawati

Oleh kerana lokasinya yang berhampiran dengan pusat bandaraya Kuala Lumpur, ia sangat mudah untuk dilawati. Terdapat beberapa cara untuk ke sini:

  • Kereta

Jika anda memandu, anda akan tiba di sini melalui lebuhraya Lingkaran Tengah 2. Terdapat tempat letak kereta yang disediakan di tempat masuk zoo, gate A dan gate B.

  • LRT

Dengan menaiki LRT Kelana Jaya Line, anda boleh turun di stesen Wangsa Maju. Kemudian, naik teksi, Grab atau bas feeder untuk ke Zoo Negara.

  • Bas

Jika anda dari stesen LRT Putra, Wangsa Maju atau Kuala Lumpur, anda boleh naik bas Rapid KL nombor 253 terus ke Zoo Negara. Jika dari Lebuh Ampang, ambil bas Rapid KL nombor 220.

2. Waktu beroperasi yang fleksibel

Zoo ini dibuka setiap hari, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Kemasukan terakhir adalah pada jam 4 petang. Masa yang diperuntukan untuk melawati setiap kawasan zoo ini adalah lebih kurang 2-3 jam. Oleh itu, anda boleh rancang masa anda mengikut kesesuaian.

HOT  Apa Itu Forex? Panduan Lengkap untuk Pemula

Kawasan zoo merupakan kawasan mesra kerusi roda dan mesra kanak-kanak. Jadi, anda tidak perlu bimbang jika anda membawa anak dalam stroller. Jika anda memerlukan bantuan, sila maklumkan pada staff.

3. Harga tiket yang berpatutan

zoo negara

Harga tiket Zoo Negara adalah berbeza mengikut kategori berikut:

i) Warganegara Malaysia (MyKad/MyKid)

Dewasa – RM 45

Kanak-kanak (3 hingga 12 tahun) – RM18

Warga Emas (60 tahun ke atas) – RM 23

ii) Pelancong ASEAN (Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Laos dan Brunei)

Dewasa – RM 61

Kanak-kanak – RM 33

Warga Emas – RM61

iii) Pelancong Asing

Dewasa – RM 82

Kanak-kanak – RM 43

Warga Emas – RM 82

4. Pelbagai tarikan popular

Zoo Negara menempatkan 476 spesis haiwan, termasuk mamalia, reptilia serta burung. Ia merangkumi lebih dari 5,000 ekor haiwan.

zoo negara

Terdapat pelbagai ruang pameran yang menarik di zoo ini. Antaranya seperti:

  • Rimba reptilia

Rimba reptilia mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian indoor dan outdoor. Ia menempatkan pelbagai spesis buaya, termasuk buaya laut dan buaya sungai. Selain itu, spesis ular, kura-kura dan penyu juga terdapat di sini.

  • Dunia mamalia
zoo negara

Antara tarikan di sini ialah pelbagai spesis kucing, rakun, puma, harimau bintang, memerang dan landak.

  • Savannah
zoo negara

Savannah merupakan pameran terbuka yang terbesar di zoo ini. Ia menempatkan zirafah, kuda belang, burung unta, badak sumbu, kijang dan oryx.

  • Kompleks beruang
zoo negara

Kompleks ini adalah rumah kepada pelbagai jenis beruang. Antaranya seperti beruang hitam Asia, beruang perang, dan beruang sloth.

  • Pusat orang utan
zoo negara

Pusat orang utan ini menempatkan spesis orang utan Borneo dan Sumatra, yang merupakan kebanggaan Malaysia.

HOT  Menu Minum Petang yang Menggoda Selera

  • Muzium lebah

Muzium ini merupakan tarikan untuk memberi pendedahan pada pengunjung mengenai jenis-jenis lebah yang terdapat di Malaysia.

  • Sangkar burung
zoo negara

Dengan lebih dari 100 spesis burung dari seluruh dunia, sangkar yang besar ini menyediakan ruang untuk burung terbang bebas.

  • Dunia kanak-kanak

Ruang ini menempatkan pelbagai haiwan domestik seperti arnab, itik dan ayam untuk bergerak bebas. Anak anda juga boleh menerokai kawasan ini.

5. Pusat Konservasi Panda

zoo negara

Sepasang panda dari China ini merupakan ahli keluarga terbaru Zoo Negara.

Pasangan panda yang diberi nama Liang Liang dan Xing Xing ini merupakan pinjaman oleh kerajaan China kepada Malaysia selama 10 tahun. Panda ini telah menetap di zoo ini sejak tahun 2014.

Pasangan panda ini telah melahirkan dua ekor bayi panda yang comel. Anak mereka yang pertama, Nuan Nuan, telah lahir pada Ogos 2015. Ia telah dihantar pulang ke China pada tahun 2017.

Hasil dari perjanjian antara Beijing dan Kuala Lumpur, ia menyatakan bahawa anak panda yang lahir dalam tawanan mesti dihantar pulang ke China pada usia 2 tahun.

Anak panda yang kedua baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang pertama pada bulan Januari yang lalu. Bayi panda yang comel ini sememangnya menjadi tumpuan utama di Zoo Negara.

Sekarang, tiada sebab untuk anda tidak kunjungi Zoo Negara. Jadikan lawatan ke Zoo Negara sebagai aktiviti anda bersama anak-anak dan keluarga.