Hai warga pekerja. Ada sesuatu yang menyelinap masuk ke ofis anda tanpa anda sedari. Ianya bukannya dari luar tapi di dalam kepala – ancaman sakit mental.
Saban tahun, semakin ramai orang yang didiagnos dengan sakit mental. Tahukah anda, setiap satu daripada tiga orang rakyat Malaysia mengalami pelbagai masalah kesihatan mental. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua paling membahayakan rakyat negara ini, selepas penyakit jantung.
Namun begitu, rata-rata ramai lagi yang masih mempunyai stigma sosial dan melabel pesakit mental dengan pelbagai gelaran negatif.
Ia mungkin berpunca dari kurangnya ilmu dan kefahaman mendalam mengenai penyakit mental.
Sakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit. Ia terdiri dari pelbagai kategori penyakit. Antaranya adalah kemurungan (depression), keresahan (anxiety), skizofrenia dan bipolar.
Menurut KKM, terdapat beberapa punca sakit mental yang perlu dikenalpasti. Genetik/keturunan, hormon tidak seimbang, jangkitan virus, cabaran hidup serta keadaan sosio-ekonomi yang membebankan merupakan faktor yang menyumbang pada sakit mental.
Mental Health Experiential Conference 2019
Kebelakangan ini, isu mengenai sakit mental sering diperkatakan oleh pelbagai organisasi.
Antara isu penting yang telah diutarakan adalah kesihatan mental di tempat kerja. Ia merupakan satu perkara yang menyedihkan kerana kebanyakan syarikat dan organisasi memandang mudah kepentingan kesihatan mental di kalangan pekerja.
Sejajar dengan itu, satu persidangan telah diadakan. Mental Health Experiential Conference 2019 (MYMHEC2019) telah diadakan selama tiga hari, bertempat di Sheraton Petaling Jaya Hotel.
Persidangan ini telah dianjurkan oleh Emerging Journey Asia (EJA), Malaysian Integrated Community Health Medical Association (MICHMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Saya telah berpeluang untuk menghadiri persidangan ini pada hari terakhir ia berlangsung.
Bertumpu sekitar isu kesihatan mental di tempat kerja, hari terakhir persidangan telah didedikasikan kepada belia. Pelbagai perbincangan dan perkongsian telah diberikan oleh ramai pakar perubatan dan pakar psikologi.
Di sini, akan saya kongsikan serba sedikit ilmu mengenai kesihatan mental di tempat kerja.
Menghapuskan stigma
Persidangan dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengacara majlis dan pihak penganjur. Dr Sangeeta Kaur merupakan CEO organisasi EJA serta pengerusi penganjur, mengalu-alukan kedatangan belia yang merupakan generasi masa depan.
Beliau juga menekankan mengenai kepentingan untuk berbicara mengenai penyakit mental secara terbuka dan menghilangkan stigma.
Kebanyakan orang yang menderita sakit mental enggan mendapatkan bantuan profesional kerana malu dan takut akan stigma dari orang ramai. Menurut beliau, ramai lagi pesakit mental yang masih belum didiagnos oleh pakar kerana stigma ini.
Sehubungan dengan itu, beliau juga menyeru agar semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu dalam mencari solusi mengenai isu kesihatan mental.
Kesejahteraan mental
Antara speaker persidangan pada hari tersebut adalah Dr Andrew Mohanraj, yang merupakan Presiden Malaysia Mental Health Association (MMHA). Dalam ucapannya, beliau berkongsi mengenai maksud sebenar kesejahteraan mental.
Berbicara mengenai definisi kesejahteraan mental, Dr Andrew berkongsi ciri-ciri yang menunjukkan mental yang sihat.
Ciri-ciri mental yang sejahtera
Secara keseluruhan, ia merujuk pada kebolehan untuk merasa baik dan selesa dengan diri sendiri, serta mampu untuk membina hubungan dengan orang lain.
Manusia merupakan makhluk yang bersosial dan saling memerlukan antara satu sama lain. Kesihatan mental akan mempengaruhi hubungan pesakit dengan orang lain.
Selain itu, ia juga merangkumi kemampuan seseorang dalam memenuhi tuntutan hidup dan mengatasi masalah serta cabaran.
Hidup yang sentiasa berubah dan penuh dengan cabaran memerlukan ketahanan minda. Seorang yang mempunyai mental yang sejahtera adalah seorang yang realistik dan tidak mudah beremosi.
Simptom sakit mental
Menurut Dr Andrew, sakit mental yang biasa dialami oleh pekerja adalah tekanan, keresahan (anxiety) dan kemurungan (depression).
Penyakit mental ini boleh dimanifestasikan melalui simptom fizikal dan psikologi.
Simptom fizikal adalah seperti:
- sakit kepala,
- ketidakselesaan di bahagian dada dan perut,
- gangguan tidur dan
- perubahan selera makan.
Terdapat hubungkait antara simptom fizikal dan simptom psikologi.
Antaranya seperti:
- cepat marah,
- kurang memberi tumpuan,
- sentiasa resah dan
- tidak mampu untuk membuat keputusan.
Penyakit mental ini juga boleh memberi kesan pada kelakuan dan peribadi seseorang.
Mereka mempunyai kecenderungan untuk mencari penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan kesengsaraan. Disebabkan itu, sakit mental sering dikaitkan dengan penyalahgunaan alkohol dan merokok berlebihan.
Punca sakit mental di tempat kerja
Dr Andrew juga menekankan mengenai tekanan yang disebabkan oleh tempat kerja. Kekurangan sokongan dan sikap ambil tahu di antara tenaga kerja boleh menyumbang pada stress dan sakit mental yang lain.
Konflik di antara pekerja dan majikan juga boleh menjadi punca utama kemurungan dan keresahan.
Meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja
Sebagai solusi, Dr Andrew memberikan beberapa cara bagi majikan untuk mempromosikan kesejahteraan mental di tempat kerja.
- Kenalpasti dan hadkan tekanan pada pekerja
Perbaiki komunikasi antara semua tahap. Sediakan peluang kerjaya yang realistik dan adil.
Pastikan sumber mencukupi bagi membantu pekerja menjalankan tugas.
- Kenali tanda awal sakit mental
Kenalpasti pekerja yang sering tidak hadir disebabkan oleh gangguan psikosomatik.
Ia boleh menjadi tanda awal sakit mental yang perlu ditangani segera.
- Pengurusan tekanan kerja
Jalani latihan dan kempen pengurusan tekanan kerja yang efektif.
Majikan boleh melantik kaunselor atau pakar psikologi tempat kerja.
Kesan sakit mental
Secara tidak langsung, tekanan kerja boleh memberi kesan buruk pada produktiviti organisasi. Pekerja yang mengalami sakit mental akan sering tidak hadir ke kerja lalu menyebabkan prestasi menurun.
Tanpa bantuan profesional dan timbang rasa dari pihak majikan, pesakit ini akan kekal dibelenggu masalah mental.
Semua manusia adalah berbeza keadaan mentalnya. Oleh itu, pengesanan awal amat penting untuk memastikan tahap kesihatan mental adalah pada tahap yang terbaik supaya mereka boleh menjadi pekerja yang produktif dan berdaya maju.