Perbankan Islam
Advertisement

Sistem perbankan Islam boleh didefinisikan sebagai suatu sistem perbankan yang prinsip perjalanan dan amalannya berlandaskan hukum Islam atau dalam bahasa Arab disebut sebagai Syariah. Ini bererti segala operasi yang terdapat di dalam bank sama ada urusan penyimpanan wang mahupun urusan pembiayaan dilakukan berlandaskan hukum-hakam Syariah atau sekurang-kurangnya tanpa melanggar larangan-larangan yang telah diterapkan oleh Allah S.W.T. melalui hukum-hakam Syariah. Penggunaan prinsip ini juga meliputi transaksitransaksi bank yang lain seperti urusan kiriman wang, surat-surat jaminan, surat-surat kredit dan tukaran wang asing.

Faktor utama yang membezakan antara bank Islam dan bank konvensional lain ialah segala urusannya mestilah dikendalikan tanpa melibatkan sebarang unsur-unsur faedah (bunga hutang). Ini disebabkan Islam menghalang umatnya daripada memberi ataupun mengambil dan memakan riba. Selain itu, objektif-objektif utama penubuhan bank Islam adalah untuk memenuhi keperluan umat Islam di dalam urusan bank. Asas pengendalian perniagaannya juga berdasarkan ketetapan Al-Quran dan As-Sunnah, iaitu berdasarkan konsep adil dan saksama demi kepentingan masyarakat keseluruhannya.

1. Pemantauan

Perbankan Islam: Segala urusan perbankan Islam akan dipantau oleh Ahli/Majlis Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Audit Syariah. Mereka adalah individu yang bertanggungjawab dalam memastikan kepatuhan hukum Syariah di sesebuah bank.

Perbankan Konvensional: Tidak mempunyai pemantauan dari segi Syariah

2. Pematuhan Syariah

Perbankan Islam: Melaksanakan transaksi yang mematuhi kehendak Syariah. Segala perolehan atau hasil yang terbit daripada urusan perbankan yang tidak mematuhi Syariah dan garis panduan Syariah akan disalurkan kepada badan-badan amal.

Perbankan Konvensional: Tidak ada peruntukan untuk mematuhi prinsip-prinsip Syariah

Perbankan Islam Untung

3. Lebihan Adalah Untung, Bukannya Riba

Perbankan Islam: Memperoleh keuntungan dengan cara yang tidak bercanggah dengan Islam. Keuntungan (profit) adalah terhasil daripada kontrak jual beli dan perkongsian untung rugi (pelaburan).

HOT  Surah al Mulk - Pelindung Diri Daripada Azab Kubur?

Perbankan Konvensional: Mengaut keuntungan melalui pelbagai cara tanpa mempedulikan adakah ia mematuhi syarak atau sebaliknya. ’Interest’ terhasil daripada lebihan (pertambahan) daripada jumlah pinjaman/hutang yang diberikan.

4. Aqad

Perbankan Islam: Sistem Kewangan Islam adalah berteraskan akad yang telah dipersetujui oleh Syarak seperti Bai’ Bithaman Ajil (BBA), Wadi’ah, Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya.

Perbankan Konvensional: Operasinya adalah tidak berteraskan akad-akad yang sah dari sudut Syarak dan kebanyakkannya terlibat dalam sistem pinjaman yang berteraskan riba.

5. Zakat

Perbankan Islam: Terlibat dalam pembayaran zakat. Ia merupakan tanggungjawab sosial pihak perbankan Islam.

Perbankan Konvensional: Tidak ada peruntukan untuk mengeluarkan zakat.

Sumber: Bank Muamalat