Terdapat banyak sebab untuk anda menggemari kopi. Ianya lebih daripada sekadar aroma yang memikat dan rasa yang menyegarkan.
Pada abad kesembilan, kopi merupakan minuman pertama apabila ianya ditemui di tanah tinggi Etiopia. Kemudian ia mula merebak ke Mesir dan Yemen.
Pada abad ke-15 telah sampai ke Armenia, Parsi, Turki dan di utara Afrika. Selain dari dunia Islam, ia terus tersebar sehingga ke Itali, seluruh Eropah dan seterusnya Amerika.
Terdapat dua jenis utama pokok kopi iaitu Coffea Arabica dan Coffea canephora (robusta).
Arabica dianggap jenis tradisional dan bernilai tinggi, manakala Robusta mengandungi kandungan kafein yang lebih tinggi dan lebih mudah ditanam berbanding Arabica.
Ia selalu digunakan sebagai gantian murah bagi Arabica dalam penghasilan kopi untuk didagangkan.
Berbanding Arabica, Robusta mempunyai rasa pahit dan lebih berasid. Robusta yang berkualiti banyak digunakan dalam campuran espresso untuk menambah rasa.
Kebanyakan espresso di Itali didapati menggunakan Robusta yang digoreng garing (dark roasted).
Cara Penyediaan
Penyediaan kopi bermula dengan proses untuk menukar biji kopi menjadi minuman kopi.
Cara penyediaan adalah berbeza mengikut jenis bahan mentah yang digunakan serta jenis yang diingini.
Biji kopi perlu melalui proses pemanggangan, dikisar, direndam dalam air panas untuk tempoh tertentu. Akhir sekali air ditapiskan dari keladak kopi yang telah digunakan.
Proses pemanggangan adalah penting bagi menghasilkan secawan minuman yang lazat.
Apabila dipanggang, biji kopi hijau akan mengembang sekali ganda dari saiz asal. Warna dan kepadatan juga akan bertukar.
Apabila biji kopi menyerap haba, warnanya akan bertukar menjadi kuning, seterusnya menjadi perang “kayu manis” lembut.
Bagi mencipta suatu minuman yang enak, biji-biji ini mesti dikisar dan dibru terlebih dahulu. Ia biasanya dikisar di ‘roastery’ dan dibungkus sebelum dijual kepada pengguna.
Manfaat Kopi
Tahukah anda selain daripada rasanya yang enak dan aromanya yang memukau, kopi juga mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan?
Pastinya anda akan suka dengan maklumat yang dikongsikan ini!
1. Mengatasi Kemurungan
Terdapat beberapa punca yang menjadikan seseorang itu menjadi murung.
Antara penyebabnya adalah disebabkan oleh masalah kewangan, kesihatan fizikal yang merosot dan mungkin juga masalah sosial.
Pada tahun 2011, dalam kajian Harvard menunjukkan wanita yang meminum 4 cawan kopi atau lebih pada setiap hari mempunyai 20% risiko lebih rendah untuk mengalami kemurungan.
Terdapat satu kajian lain yang melibatkan 208,424 individu mendapati apabila mereka meminum 4 cawan atau lebih setiap hari adalah 53% kurang kemungkinan membunuh diri.
2. Membekalkan Tenaga Dan Meningkatkan Fungsi Otak
Pengambilan kopi dapat membantu mengurangkan rasa letih dan membekalkan tenaga.
Kajian menunjukkan minuman berkafein ini dapat memberikan kesan yang baik terhadap kewaspadaan dan meningkatkan prestasi dalam tugas seharian. Apabila badan bertenaga, pastinya mutu kerja lebih berkualiti.
Selain itu, banyak ujian terkawal yang telah dilakukan menunjukkan bahawa minuman ini mampu meningkatkan pelbagai fungsi otak.
Antaranya termasuklah meningkatkan memori, mood, membekalkan tenaga, kewaspadaan, masa tindak balas dan fungsi kognitif umum.
3. Mengurangkan Risiko Diabetes Jenis II
Dianggarkan 300 juta orang di seluruh dunia menghidapi penyakit diabetes jenis 2.
Hal ini disebabkan kandungan gula darah tinggi dan dalam masa yang sama tidak berupaya untuk mengeluarkan insulin. Pengamalan kopi dapat mengurangkan risiko menghadapi diabetes jenis 2.
Kajian mendapati individu yang kerap minum kopi mempunyai risiko 23-50% lebih rendah untuk mendapat penyakit diabetes jenis 2 ini.
Ada kajian lain menunjukkan pengurangannya setinggi 67%. Terdapat juga kajian yang menunjukkan secawan setiap hari dapat menurunkan risiko sebanyak 7% daripada menghidapi penyakit ini.
4. Sumber Semulajadi Pembakar Lemak
Kafein terbukti sebagai salah satu sumber semulajadi yang dapat membantu untuk membakar lemak. Terdapat beberapa kajian menunjukkan pengambilan kafein dapat meningkatkan kadar metabolisme badan sebanyak 3-11%.
Kajian lain dijalankan terhadap dua golongan individu iaitu individu yang berbadan gemuk dan individu yang berbadan kurus.
Hasil kajian medapati kafein dapat meningkatkan pembakaran lemak sebanyak 10% pada individu berbadan gemuk manakala 29% pada individu berbadan kurus.
5. Memanjangkan Umur
Mengamalkan minuman ini dapat mengurangkan risiko daripada mendapat banyak penyakit. Oleh sebab itu dapat disimpulkan bahawa kopi dapat membantu memanjangkan umur seseorang individu.
Tahukah anda terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa penggemar minuman ini mempunyai risiko kematian yang lebih rendah. Bagi menjamin kesihatan yang lebih baik, apa kata kita mula mengamalkan meminumnya setiap hari.
6. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung Dan Strok
Ini mungkin adalah berita baik untuk membantu mereka yang menghadapi risiko penyakit jantung.
Satu kajian dijalankan terhadap wanita yang meminum kopi menunjukkan risiko penyakit jantung berkurangan.
Terdapat juga kajian lain menunjukkan peminum minuman ini mempunyai risiko strok 20% lebih rendah.
Kesimpulannya, terdapat banyak manfaat yang boleh kita perolehi apabila mengamalkan minuman kopi.
Disebabkan rasanya yang enak dan aromanya yang memukau, kopi adalah minuman paling disukai di dunia.
Namun anda seharusnya berhati-hati dengan kandungan gula dan krimer dalam secawan minuman. Takut mengundang penyakit lain pula!