mata wang digital
Advertisement

Facebook bersama-sama dengan 27 organisasi di seluruh dunia melancarkan mata wang digital yang dikenali sebagai Libra.

Facebook dalam kenyataannya mendedahkan butiran maklumat mengenai Libra, mata wang digital. Ia membolehkan urusan jual beli atau penghantaran wang tanpa caj.

Pengguna boleh melakukan transaksi dari Libra secara online atau di mana-mana tempat pertukaran seperti kedai runcit dan berbelanja menggunakan aplikasi e-wallet.

Libra tidak akan dikawal sepenuhnya oleh Facebook. Mereka hanya akan mendapat satu undian dalam pentadbiran Libra sama seperti ahli pengasas Libra Association yang lain, termasuk Visa, Uber dan Andreessen Horowitz yang telah melaburkan sekurang-kurangnya 10 juta USD dalam projek ini.

Bagi mengendalikan urusan kripto dan melindungi privasi pengguna, Facebook melancarkan sebuah anak syarikat bernama Calibra. Ini untuk memastikan pembayaran Libra tidak bercampur dengan maklumat Facebook pengguna.

Identiti sebenar pengguna tidak akan terikat dengan transaksi awam. Namun begitu, Facebook/Calibra dan ahli-ahli pengasas Libra Association yang lain akan memperoleh faedah ke atas wang tunai pengguna yang disimpan bagi memastikan kestabilan nilai Libra.

Pengganti PayPal?

Dalam matawang kripto, Facebook melihat kedua-dua ancaman dan peluang. Ia menjanjikan perubahan dengan menghapuskan yuran transaksi kad kredit.

Namun begitu, matawang kripto sedia ada seperti Bitcoin dan Ethereum tidak direka dengan baik sebagai medium transaksi yang besar.

Facebook dilihat ingin menjadikan Libra sebagai pengganti Paypal. Ia berharap Libra akan menjadi lebih mudah sebagai kaedah pembayaran, lebih cekap dan lebih senang diakses tanpa bank dan lebih fleksibel.

Bagaimana Libra berfungsi?

Secara asasnya, Libra boleh digunakan sebagai pembayaran tanpa yuran transaksi atau nama anda didedahkan.

Namun begitu, terdapat lebih banyak maklumat menarik di sebalik kelahiran Libra.

  • Libra Association – penguasa kripto terbaru
HOT  5 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Renew Roadtax & Insurans Kenderaan

Untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai, Facebook merekrut ahli pengasas Libra Association yang akan mengawasi pembangunan token, mengawal simpanan asset bernilai dan mengeluarkan peraturan pengawalan blockchain.

Setiap ahli pengasas telah membayar sekurang-kurangnya $10 juta untuk menyertai Libra Association dan memperoleh satu undi dalam majlis, serta mendapat dividen faedah dari simpanan Libra.

Terdapat 28 ahli pengasas dari pelbagai syarikat dan organisasi yang telah menyertai Libra termasuk Mastercard, Visa, eBay, Spotify AB, Uber Technologies, Vodafone Group, Andreessen Horowitz dan Union Square Ventures.

Facebook mengharapkan agar Libra Association dapat mencapai 100 ahli pengasas sebelum pelancaran rasminya. Libra Association berpusat di Geneva, Switzerland dan akan bertemu dua kali setahun.

  • Pentadbiran Libra – kuasa mengundi

Untuk menyertai Libra Association, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi;

  • Talian internet yang melebihi 100Mbps, jurutera sepenuh masa dan kawalan keselamatan yang tinggi
  • Perniagaan mencecah dua daripada tiga nilai pasaran bernilai $1 billion atau $500 juta dalam baki pelanggan, mencapai 20 juta pelanggan setahun
  • Diiktiraf sebagai pemimpin industri 100 terbaik oleh kumpulan seperti Interbrand Global atau S & P.

Satu majlis terdiri daripada seorang wakil dari setiap ahli akan memilih pengarah pengurusan, yang akan melantik pasukan eksekutif dan memilih lembaga terdiri daripada 5 hingga 19 wakil terbaik.

Setiap ahli, termasuk Facebook/Calibra akan mendapat satu undian atau 1% dari jumlah undian dalam majlis Libra Association. Ini bagi melindungi Libra dari dimonopoli oleh mana-mana pihak.

  • Matawang Libra

Libra merupakan unit matawang kripto Libra yang diwakili oleh tiga baris mendatar ≋ seperti dollar diwakili oleh $.

Nilai Libra dijangkakan kekal stabil dan boleh dijadikan kaedah pembayaran yang bagus kerana peniaga tidak perlu risau nilai Libra pada hari ini berkurang dari esok.

HOT  Tenancy Agreement: Panduan Lengkap Mengenai Perjanjian Penyewaan

Nilai Libra terikat pada sekumpulan deposit bank dan sekuriti kerajaan jangka pendek menggunakan matawang antarabangsa yang stabil, termasuk dollar, pound, euro, Swiss franc dan yen.

Libra Association belum memutuskan nilai sebenarnya Libra, tetapi ia dijangkakan bernilai seakan dollar, pound atau euro supaya mudah difahami.

  • Libra Reserve

Setiap kali seseorang memasukkan matawang tempatan ke dalam Libra, ia akan terus masuk ke Libra Reserve dan nilai yang setara akan diberi pada individu tersebut.

Jika Libra ditunaikan, ia adalah setara dengan matawang tempatan.

Ia bermakna 100% nilai Libra dalam kitaran dan dijamin dengan aset dunia sebenar di Libra Reserve.

  • Libra Blockchain

Setiap pembayaran Libra akan direkod ke dalam Libra Blockchain; pangkalan data kriptografi yang disahkan bertindak sebagai lejar awam online yang direka untuk mengendalikan 1,000 transaksi sesaat.

Blockchain ini beroperasi dan disahkan oleh ahli pengasas Libra Association.

  • Bahasa coding Move

Libra Blockchain merupakan sumber terbuka dengan lesen Apache 2.0, dan mana-mana pemaju boleh membina aplikasi yang berfungsi dengan menggunakan bahasa coding Move.

Prototaip Blockchain ini telah dilancarkan, jadi ia masih lagi dalam mod percubaan sehingga dilancarkan secara rasmi pada separuh pertama 2020.

  • Insentif Libra

Libra Association ingin menggalakkan lebih ramai pemaju dan peniaga untuk menggunakan matawang kriptonya.

Oleh itu, ia merancang untuk memberikan insentif, mungkin dalam bentuk Libra coins, bagi mereka yang boleh mendapatkan orang ramai untuk berdaftar dan menggunakan Libra.

Bagi setiap transaksi, peniaga juga akan menerima semula peratusan transaksi tersebut.

Menggunakan Libra

Jadi, bagaimana untuk memiliki dan berbelanja menggunakan Libra?

Ia boleh digunakan melalui Libra wallets seperti Calibra kepunyaan Facebook, atau e-wallets yang dibina oleh pihak ketiga, seperti PayPal.

HOT  Mata Wang Kripto: Revolusi Kewangan Digital

Ia bagi memudahkan penghantaran wang atau pembayaran urusniaga, semudah menghantar mesej di Facebook Message.

Privasi dari Facebook

Secara asas, Facebook tidak akan mengimport kenalan anda atau apa-apa maklumat profil anda.

Ia juga tidak akan berkongsi data transaksi Libra ke Facebook. Jadi ia tidak boleh digunakan sebagai target iklan atau rank News Feed.

Data hanya akan didedahkan hanya jika terdapat situasi tertentu yang melibatkan penipuan atau penguatkuasaan undang-undang.

Untuk menggunakan Libra atau berdaftar di Calibra, ia tidak memerlukan akaun Facebook mahupun WhatsApp.

Wang global

Satu perkara yang pasti: wang pada hari ini tidak berfungsi untuk semua orang.

Libra berpotensi sebagai satu kaedah pembayaran mudah untuk membantu pekerja asing serta mereka yang tidak mempunyai akses bank di luar negara.

Jika Facebook berjaya, Libra akan menjadi sumber keuntungan bagi ahli-ahli pengasas Libra Association.

Jika Libra digodam atau terbukti tidak boleh dipercayai, ia akan memberi kesan buruk kepada ramai orang yang menggunakan matawang kripto.

Tahun hadapan, semuanya akan terjawab tentang mata wang digital ini.

Follow kami untuk berita-berita teknologi terhangat!